Bahawa
Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang
memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya
kepada lelaki tersebut:”Apakah bendanya ini”? Lelaki itu berkata:”Ia
adalah gelang perubatan”. Rasulullah bersabda: “ Sesungguhnya benda itu
tadak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan
benda itu daripada diri anda, jika sekirannya anda mati dan benda itu
ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk
selama-lamanya (Sahih riwayat Imam Ahmad).
Berdasarkan
hadis di atas, terdapat perbezaan pendapat ulama’ sama ada yang
mengharuskan ataupun mengharamkan pemakaian gelang tangan ini. Mereka
yang mengharamkan penggunaan gelang tangan adalah bersandarkan hadis
zahir di atas secara jelas melarang lelaki memakai gelang tangan,
walaupun untuk tujuan perubatan.
Pun
begitu, terdapat ulamak yang mengharuskan menggunakan gelang tangan
bagi lelaki dengan tujuan perubatan sahaja, tetapi dengan beberapa
syarat yang ketat iaitu gelang tersebut telah dibuat kajian saintifik
bahawa boleh merawat penyakit, gelang tersebut bukan dibuat daripada
emas dan perak, pemakaian gelang tersebut bukan untuk tujuan
menunjuk-nunjuk. al-Ustaz Muhammad Sa'di (Penyelidik laman Islam-online)
ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat
bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam
syirik yang kecil, beliau menjawab: "Jika terbukti kemanfaatan gelang
tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun
jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana
ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat."
Larangan
memakai gelang yang dinamakan al-wahinah di dalam hadis di atas bukan
merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan
berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan
tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal. Oleh itu, pemakain
gelang tangan bagi tujuan tangkal adalah jelas, iaitu haram. Tidak kira
jenisnya, sama ada ada logam, tali bewarna hatta gelang getah sekalipun.
Majlis fatwa kebangsaan telah memutuskan lilitan hitam di lengan bagi
umat Islam adalah haram kerana ia merupakan suatu adat atau kepercayaan
agama lain. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali Ke-19, 6 Oktober 1987 )
Hasil dari pemerhatian, pemakaian gelang di kalangan pelajar PMM
atau masyarakat awam, gelang yang dipakai bukanlah jenis magnetik yang
dibuat untuk tujuan perubatan tetapi jenis logam biasa yang boleh dibeli
di mana-mana sahaja dengan harga yang murah. Jadi gelang ini bukanlah
jenis yang diharuskan menurut Islam. Pemakain mereka hanya bertujuan untuk
menunjukkan penampilan yang dianggap “gagah” atau “macho”. Oleh itu
jika hanya untuk menunjuk-nunjuk atau berhias (bagi lelaki) maka ia
adalah amat ditegah dalam Islam.