"Dan sesungguhnya kami telah memberi
kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya),
“Bersyukurlah pada Allah Azzawajalla (akan segala nikmat-Nya pada mu)”
Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah itu hanyalah terpulang kepada
dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi
hal bagi Nya) kerana Allah Maha kaya lagi Maha terpuji."
(Luqman,12)
Dalam
ayat ini Allah taala telah mengurniakan nikmat akal,kefahaman dan
percakapan yang benar kepada Luqman, lalu Allah telah memerintahkan
kepada Luqman agar bersyukur pada-Nya diatas nikmat yang telah
dikurniakan.
Ibn ‘Atiyah meriwayatkan daripada Ibn Umar RA: Beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda “ Luqman
bukanlah seorang nabi tetapi beliau adalah seorang hamba yang banyak
berfikir,berkeyakinan tinggi, maka Allah mengasihinya dan
menganugerahkannya hikmah. Ditawarkan kepadanya jawatan khalifah untuk
melaksanakan hukum yang benar. Luqman berkata : “ Tuhanku! Sekiranya
Engkau memberi pilih kepadaku, aku terima dengan rela dan aku
meninggalkan ujian. Tetapi jika Engkau menfardhukan kepadaku , maka aku
dengar dan taat,sesungguhnya engkau akan memeliharaku.” Kita dapat
melihat bagaimana sikap Luqman Al Hakim apabila dikurniakan kelebihan
daripada Allah beliau menzahirakan kesyukuran beliau dengan tunduk dan
patuh pada Allah. Cubalah kita bandingkan diri kita pada hari ini dengan
Luqman Al Hakim dalam menzahirkan syukur kita pada Allah taala.
Kalau kita menyelesuri ayat-ayat Al Quran, kita akan bertemu dengan pelbagai bentuk ayat berkenaan syukur. Ada
yang berbentuk kata kerja yang telah lalu, akan datang dan kata
perintah, atau dalam bentuk masdar dan isim fa’il. Ini semua menunjukkan
bahawa kita mestilah bersyukur pada Allah dalam apa jua bentuk dan
keadaan. Ini kerana kita memerlukan Allah dalam setiap urusan kehidupan
dari bangun pagi hinggalah kita tidur pada malam hari. Namun manusia pada hari ini jarang melihat nikmat yang Allah kurniakan.
Kita sering menyangka bahawa setiap apa yang kita perolehi berlaku
dengan sendirinya dengan segala usaha yang telah kita curahkan.
Anehnya
kita sanggup berterima kasih dan terhutang budi terhadap seseorang yang
telah memberi sesuatu yang remeh temeh, tetapi melupakan rasa terima
kasih terhadap kuasa agung yang menjadikan dan memudahkan setiap
perlakuan seharian kita. Nikmat hidup,akal dan rezeki yang kita
dapat semuanya merupakan saluran kearah sifat pemurah Allah S.W.T
kepada hamba-Nya. Pada zahiranya orang itu memberi, lalu kita pun
merasa, bila orang berbudi kita pun berbahasa. Justeru hanya Allah yang
Maha Berbudi.
Islam menganjurkan penganutnya agar tahu mengenang budi, terutama melalui solat fardhu lima
waktu yang mentarbiah kita. Dalam Fatihah, sebutan pertama kita
diperkenalkan dengan sifat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,
kemudiannya kita diminta memuji Allah yang mengasuh dan mentarbiah
seluruh alam. Segala puji dan sanjungan kepada Allah bukan sekadar
mengenang budi, tetapi asuhan yang terkandung di dalamnya supaya manusia
terhindar dari syirik. Kita hendaklah menyedari bahawa setiap biasiswa
yang kita dapat merupakan nikmat dari Allah bukannya milik penaja
semata-mata. Kejayaan yang kita perolehi merupakan anugerah dari Allah
bukannya atas kesungguhan kita semata-mata.
Justeru
kita diajar supaya mengerakkan lidah dan hati untuk mengingati Allah
supaya segala nikmat duniawi yang diperolehi dari pelbagai sumber tidak
dapat mengelabui mata hati, dan tidak juga terpaut dengan kesenangan
duniawi. Semoga ia tidak akan mendinding hati dari melihat hakikat
sebenat tentang kurnia Allah itu.
No comments:
Post a Comment