Saturday, January 28, 2012

Sayangnya Rasulullah kepada umatnya


Berikutan dengan kematian Abu Talib, pihak bani Quraisy menjadi lebih giat lagi menambah gangguan dan penentangan mereka terhadap da’wah Rasulullah s.a.w. Di Taif, bandar yang kedua terbesar di Hijaz, terdapat Bani Thafiq suatu puak yang sangat kuat dan ramai bilangannya. Nabi Muhammad s.a.w. telah berlepas keTaif membawa harapan dia dapat mempengaruhi kaum Bani Thafiq menerima Islam dan dengan demikian memperolehi perlindungan bagi pemeluk-pemeluk agama Islam dari gangguan bani Quraisy. Baginda s.a.w juga bercita-cita hendak menjadikan Taif markas kegiatan-kegiatan dakwah Baginda s.a.w. Apabila Baginda s.a.w tiba disana, beliau telah mengunjungi tiga orang pemuka Bani Thafiq secara berasingan dan menyampaikan kepada mereka risalah Allah s.w.t.

Namun demikian, bukan sahaja mereka tidak mahu menerima ajaran Allah s.w.t. bahkan enggan mendengar apa yang ingin disampaikan oleh Baginda s.a.w kepada mereka. Baginda s.a.w telah dilayani secara kasar dan sungguh-sungguh biadap. Kekasaran mereka sungguh bertentangan dengan semangat memuliakan dan menghormati tetamu yang telah menjadi sebahagian daripada budaya hidup bangsa Arab. Dengan terus-terang mereka mengatakan yang mereka tidak suka Baginda s.a.w. tinggal ditempat mereka. Baginda s.a.w. sebelumnya berharap yang kedatangan beliau akan disambut dengan sopan-santun, diiringi dengan kata-kata yang lemah lembut. Sebaliknya Baginda s.a.w telah dilempari dengan kata-kata yang kasar.

Dalam menghadapi penentangan yang sebegini hebat, ketabahan dan kecekalan hati yang merupakan sifat-sifat semulajadi Nabi Muhammad s.a.w. tidak menyebabkan Baginda s.a.w. berasa hampa dan gagal barang sedikit jua pun. Selepas meninggalkan pemuka-pemuka Bani Thafiq tadi, Baginda s.a.w cuba menghampiri rakyat biasa Disini juga Baginda s.a.w menemui kegagalan. Mereka menghalau Baginda s.a.w keluar dari Taif dan mereka tidak membiarkan Baginda s.a.w keluar dari Taif secara aman. Mereka mengupah samseng-samseng supaya mengusik, mengejek, mengacau dan melempari Rasulullah s.a.w dengan batu. Pelemparan batu yang dilakukan keatas Baginda s.a.w itu sedemikian rupa hingga badan Baginda s.a.w berdarah akibat luka-luka. Apabila Baginda s.a.w berada agak jauh dari kota Taif, Baginda s.a.w pun berdoa kepada Baginda s.a.w. yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku, kepada Engkau aku adukan kelemahan tenagaku dan kekurangan daya-upayaku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan yang Maha Rahim kepada siapa Engkau menyerahkanku? Kepada musuh yang akan menerkamkan aku ataukah kepada keluarga yang engkau berikan kepadanya uruskanku, tidak ada keberatan bagiku asal aku tetap dalam keridhaanMu. Pengetahuan Mu lebih luas bagiku. Aku berlindung dengan cahaya mukaMu yang mulia yang menyinari segala langit dan menerangi segala yang gelap dan atasnyalah teratur segala urusan dunia dan akirat, dari Engkau menimpakan atas diriku kemarahanMu atau dari Engkau turun atasku azabMu kepada Engkaulah aku adukan permasalahanku sehingga Engkau redha. Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan Engkau”

Maka Allah s.w.t. mengutuskan Malaikat Jibril turun menemui Baginda s.a.w. Setibanya dihadapan Nabi Muhammad s.a.w, Jibril a.s pun memberi salam seraya berkata: “Allah s.w.t Mengetahui apa yang telah berlaku diantara kamu dan orang-orang ini. Allah s.w.t. telah mendatangkan malaikat penjaga gunung-ganang disini khas untuk menjalankan sebarang perintah kamu.”

Sambil berkata demikian, Jibril a.s menghadapkan malaikat itu pada Baginda s.a.w Kata malaikat penjaga gunung itu:”Wahai Rasulullah, saya bersiap sedia untuk menjalankan perintah Tuan. Kalau dikehendaki, saya sanggup menyebabkan gunung-gunung disebelah-menyebelah kota ini berlanggaran sehingga penduduk-penduduk dikedua-dua belah mati tertindih. Kalau tidak, Tuan cadangkan apa saja hukuman yang selayaknya diterima oleh orang-orang ini.”

Mendengar janji-janji Malaikat itu, Nabi Muhammad s.a.w. pun berkata:”Walaupun orang-orang ini tidak menerima Islam, saya harap dengan kehendak Allah s.w.t., yang anak-anak mereka, pada satu masa nanti, akan menyembah Allah s.w.t.. dan berbakti kepadaNya.”

No comments:

Post a Comment