Saturday, June 2, 2012

Bersyukurlah





"Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya), “Bersyukurlah pada Allah Azzawajalla (akan segala nikmat-Nya pada mu)” Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal bagi Nya) kerana Allah Maha kaya lagi Maha terpuji."

(Luqman,12)
Dalam ayat ini Allah taala telah mengurniakan nikmat akal,kefahaman dan percakapan yang benar kepada Luqman, lalu Allah telah memerintahkan kepada Luqman agar bersyukur pada-Nya diatas nikmat yang telah dikurniakan.
Ibn ‘Atiyah meriwayatkan daripada Ibn Umar RA: Beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah S.A.W telah bersabda “ Luqman bukanlah seorang nabi tetapi beliau adalah seorang hamba yang banyak berfikir,berkeyakinan tinggi, maka Allah mengasihinya dan menganugerahkannya hikmah. Ditawarkan kepadanya jawatan khalifah untuk melaksanakan hukum yang benar. Luqman berkata : “ Tuhanku! Sekiranya Engkau memberi pilih kepadaku, aku terima dengan rela dan aku meninggalkan ujian. Tetapi jika Engkau menfardhukan kepadaku , maka aku dengar dan taat,sesungguhnya engkau akan memeliharaku.” Kita dapat melihat bagaimana sikap Luqman Al Hakim apabila dikurniakan kelebihan daripada Allah beliau menzahirakan kesyukuran beliau dengan tunduk dan patuh pada Allah. Cubalah kita bandingkan diri kita pada hari ini dengan Luqman Al Hakim dalam menzahirkan syukur kita pada Allah taala.
Para ulama mendefinisikan syukur sebagai ungakapan yang menunjukkan kita menggunakan segala apa yang dianugerahkan Allah S.W.T sesuai dengan tujuan penciptaan anugerah tersebut. Oleh itu,syukur terbahagi kepada tiga iaitu Syukur Ittiqodi(syukur dalam bentuk yakin dan beriman pada Allah S.W.T), Syukur Qauli(syukur dengan menyebut hamdalah memuji keagungan Allah) dan Syukur Amali(syukur dengan menzahirkan pengabdian kita pada Allah Taala).
Kalau kita menyelesuri ayat-ayat Al Quran, kita akan bertemu dengan pelbagai bentuk ayat berkenaan syukur. Ada yang berbentuk kata kerja yang telah lalu, akan datang dan kata perintah, atau dalam bentuk masdar dan isim fa’il. Ini semua menunjukkan bahawa kita mestilah bersyukur pada Allah dalam apa jua bentuk dan keadaan. Ini kerana kita memerlukan Allah dalam setiap urusan kehidupan dari bangun pagi hinggalah kita tidur pada malam hari. Namun manusia pada hari ini jarang melihat nikmat yang Allah kurniakan. Kita sering menyangka bahawa setiap apa yang kita perolehi berlaku dengan sendirinya dengan segala usaha yang telah kita curahkan.
Anehnya kita sanggup berterima kasih dan terhutang budi terhadap seseorang yang telah memberi sesuatu yang remeh temeh, tetapi melupakan rasa terima kasih terhadap kuasa agung yang menjadikan dan memudahkan setiap perlakuan seharian kita. Nikmat hidup,akal dan rezeki yang kita dapat semuanya merupakan saluran kearah sifat pemurah Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Pada zahiranya orang itu memberi, lalu kita pun merasa, bila orang berbudi kita pun berbahasa. Justeru hanya Allah yang Maha Berbudi.
Islam menganjurkan penganutnya agar tahu mengenang budi, terutama melalui solat fardhu lima waktu yang mentarbiah kita. Dalam Fatihah, sebutan pertama kita diperkenalkan dengan sifat Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, kemudiannya kita diminta memuji Allah yang mengasuh dan mentarbiah seluruh alam. Segala puji dan sanjungan kepada Allah bukan sekadar mengenang budi, tetapi asuhan yang terkandung di dalamnya supaya manusia terhindar dari syirik. Kita hendaklah menyedari bahawa setiap biasiswa yang kita dapat merupakan nikmat dari Allah bukannya milik penaja semata-mata. Kejayaan yang kita perolehi merupakan anugerah dari Allah bukannya atas kesungguhan kita semata-mata.
Justeru kita diajar supaya mengerakkan lidah dan hati untuk mengingati Allah supaya segala nikmat duniawi yang diperolehi dari pelbagai sumber tidak dapat mengelabui mata hati, dan tidak juga terpaut dengan kesenangan duniawi. Semoga ia tidak akan mendinding hati dari melihat hakikat sebenat tentang kurnia Allah itu.

No comments:

Post a Comment