Saturday, September 15, 2012

Hukum mengikuti Fiqh 4 Mazhab


Oleh : Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad

Perkara ini menyangkut masalah taqlid dan talfiq. Pembahasan ini telah dibicarakan secara terperinci dan hingga ke dasarnya di dalam ilmu Usul Fiqh. Ilmu ini amat penting bagi mereka yang benar-benar mendalami dasar-dasar pembinaan hukum Islam.

Taqlid ialah mengikut pendapat seorang mujtahid tanpa mengetahui sumber dan cara pengambilannya. Seperti seseorang itu mengikut pendapat Imam Syafi’i tanpa mengetahui dalilnya atau hujahnya. Orang seperti ini disebut muqallid.

Hukum-hakam amaliyah dapat kita bahagikan kepada dua:

1. Hukum-hakam yang dapat diketahui tanpa memerlukan penelitian dan ijtihad. Iaitu hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh dalil yang qath’i dan yang dapat diketahui dengan segera. Ia disebut sebagai `al-ma’lum minad din bid-dharurah’. Contohnya ialah hukum tentang kewajipan sembahyang lima waktu, kewajipan puasa bulan ramadhan, bilangan rakaat dalam sembahyang dsbnya. Ini semua dapat diketahui oleh semua umat Islam. Pengetahuan tentang hukumnya tidak memerlukan kepada penelitian terhadap dalil-dalilnya.
Dalam masalah ini, seseorang itu tidak dibenarkan bertaklid, kerana semua orang dapat mengetahuinya.

2. Hukum-hakam yang memerlukan penelitian dan ijtihad. Masalah-masalah yang berada di bawah kategori ini amat banyak sekali. Seperti masalah yang kita telah bincangkan sebelum ini mengenai hukum menyentuh perempuan ajnabi, apakah batal wuduk? Ini adalah masalah yang termasuk di dalam kategori ini. Sebab, masalah ini memang ada dalilnya dari al-Quran. Tetapi dalilnya perlu diteliti terlebih dahulu untuk diketahui – Apakah hukum yang boleh dikeluarkan darinya. Dalam penelitian dan kajian ini, sudah semestinya terjadi perselisihan pendapat. Mazhab-mazhab dan perbedaan-perbedaan pendapat di kalangan ulamak terjadi dalam dalam masalah yang seumpama ini.

Orang yang berusaha meneliti dalil-dalil, kemudian mengeluarkan hukum dari dalil berkenaan di namakan sebagai mujtahid. Antara mereka adalah seperti Imam Syafi’I, Imam Malik,Imam Hanbali dan lain-lain. Manakala mereka yang mengikutnya atau memakai hukum yang dikeluarkan oleh mujtahid disebut sebagai orang yang bertaklid. Perbuatan mengikut/memakai hukum berkenaan disebut sebagai bertaklid. Dalam masalah inilah yang dibenarkan bertaklid.

Kebanyakkan ulamak Usul (Usul Fiqh) mengatakan bahawa mereka yang tidak berkeupayaan untuk berijtihad wajib mengikut dan mengambil pendapat atau fatwa dari para mujtahid (orang yang berkeupayaan berijtihad).

Bertaklid kepada mazhab-mazhab

Mazhab-mazhab masyhur yang wujud hingga sekarang ini ialah mazhab Syafi’I, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Kita di Malaysia ini rata-rata bertaklid kepada mazhab Syafi’i. Apakah kita boleh bertukar kepada mazhab lain? Boleh. Kerana, apa bezanya Syafi’I dan lain-lain mazhab di atas? Jika kita boleh bertaklid kepada mazhab Syafi’i, ini bermakna kita juga boleh bertaklid kepada mazhab-mazhab lain.

Menurut Al-Amidi, Ibnu al-Najib dan Kamal al-Hummam, tidak wajib bertaklid kepada seorang mujtahid (mazhab) tertentu. Dalam satu masalah, mereka boleh beramal dengan mazhab ini, kemudian dalam masalah lain mereka beramal dengan mazhab lain.

Berdasarkan pendapat ini, jika kita bertaklid dengan mazhab Syafi’i dalam satu-satu masalah, tidak semestinya kita mesti bertaklid dengan mazhab ini dalam semua masalah. Dibenarkan mengamalkan pendapat dari mazhab-mazhab lain.

Taklid yang diharamkan

1. Bertaklid kepada seseorang tanpa mengendahkan al-Quran dan Sunnah.
2. Bertaklid kepada seseorang yang tidak diketahui kemampuannya berijtihad.

Talfiq

Ialah mengikut pendapat satu-satu imam dalam satu-satu masalah, kemudian bertaklid kepada imam lain dalam masalah lain. Contoh, mengambil wuduk ikut cara Hanafi dan sembahyang ikut cara Syafi’i. Ataupun, pada hari ini dia bersembahyang ikut pendapat Syafi’i dengan membaca Bismillah, esoknya dia bersembahyang ikut pendapat Hanafi dengan tidak membaca bismillah. Inilah yang dikatakan sebagai talfiq.

Pembahagian Talfiq:

1. Mengambil pendapat yang paling ringan di antara mazhab-mazhab dalam beberapa masalah yang berbeza. Contohnya, berwuduk ikut Hanafi dan sembahyang ikut Maliki. Apa hukumnya? Menurut ulamak-ulamak ini, talfiq dengan cara begini adalah dibenarkan, kerana dia mengamalkan pendapat yang berbeza dalam dua masalah yang berbeza iaiut wuduk dan sembahyang. Talfiq begini dibenarkan dalam bidang ibadah dan muamalat sebagai keringanan dan rahmat dari Allah Taala terhadap umat Muhamad. Dibenarkan juga mengambil pendapat yang paling ringan antara mazhab-mazhab dalam satu masalah. Ia diamalkan pada masa yang berlainan yang tidak bergantung satu sama lain. Contohnya, Ali berwuduk menurut syarat-syarat yang telah ditetap oleh Syafi’i. Pada waktu lain dia berwuduk menurut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Hanafi.
Talfiq seperti ini dibenarkan kerana wuduk pertama yang menurut syarat Syafi’i telah selesai dan digunakan untuk satu-satu ibadah hingga selesai. Kemudian wuduk keduanya menurut Hanafi juga selesai dan digunakan untuk tujuan tertentu hingga selesai. Jelasnya ia dilakukan, sekalipun masalahnya sama tetapi dalam peristiwanya berbeza.

2. Mengambil pendapat yang paling ringan daripada mazhab-mazhab dalam satu masalah. Talfiq begini tidak benarkan. Contohnya, Ali bernikah tidak menggunakan wali kerana ikut Hanafi. Disamping itu dalam masa yg sama dia tidak memakai 2 saksi kerana mengikut pendapat Maliki. Pernikahan seperti ini adalah batal/tidak sah.
Ittiba’

Ialah menerima pendapat orang lain dengan mengetahui sumber atau hujahnya. Ittiba’ adalah sebaik-baik cara menerima dan mengamalkan pendapat dari mujtahid.

2 comments:

oh! kuda said...

bagaimana pula dengan bertaharah, contonhnya mensetru, bolehkah kita ikut cara mazhab maliki yg mana lebih ringan??

mohon penjelasan..

Amirul Syamim said...

inshaAllah tiada masalah. kenalah benar benar yakin dan bersandarkan nas yang sahih. wallahualam

Post a Comment