Thursday, August 26, 2010

Menangis Dalam Solat


"Sheikh, ketika anda membaca al Quran, saya dapat rasakan bahawa anda sangat memahaminya. Kadang-kadang anda akan ulang suatu ayat tu berulang-ulang kali, kadang-kadang juga anda akan menangis-nangis. Walaupun saya faham maksud ayat tersebut, saya tak dapat menangis macam anda menangis. Lalu saya rasa anda bukan sahaja memahami maksudnya, tetapi anda FAHAM maksudnya. Macam manakah caranya saya nak menjadi macam mereka yang memahami?"


Dia menjawab, "Caranya ada banyak:

1. Siapkan Mental Semaksimumnya dengan Bersolat Sunat Sebelum Solat Fardu.
Sediakan hati anda sebelum menunaikan solat. Contohnya sebelum solat Isya, solat dua rakaat dahulu untuk pastikan hati anda merasai ruh al Quran sebelum bersolat yang fardu.

2. Selalu Membaca al Quran
a. Apabila anda membaca suatu ayat, bacanya berulang kali - cuba fahami sedalam-dalamnya ayat tersebut.
b. Berhubunglah dengan al Quran, satu juz satu hari, supaya anda boleh mengkhatamkan bacaan al Quran dalam satu bulan, dengan kerap kali mambacanya.

3. Baca tafsir al Quran
a. Jika menyedari terdapat ayat yang anda tidak fahami ketika membaca al Quran, terus pergi mencari tafsirnya. Kemudian, baca kembali ayat tersebut dengan dengan ilmu yang baru diperolehi, tentang bagaimana ia diturunkan, mengapa ia diturunkan, bila ia diturunkan, suasana ketika ayat itu diturunkan, kemudian cuba berfikir: Adakah aku sudah memahaminya sekarang?

4. Menyedari Allah swt memanggil ANDA
a. Bayangkan suasana ketika al Quran diturunkan kepada para sahabat. Merekalah yang telah menyaksikan proses penurunan al Quran tersebut! Mereka tahu sebab penurunan setiap ayat; mereka juga sedar bahawa ayat al Quran tersebut diturunkan untuk DIRI MEREKA. Bayangkan bagaimana para sahabat ra yang kemudiannya terkesan dengannya, ketika mereka tahu bahawa ketika al Quran itu diturunkan kepada mereka, al Quran itu jugalah yang sedang memanggil diri mereka.
b. Ketahuilah bahawa: Allah swt sedang memanggil anda! Contohnya, bayangkan anda mendengar surah al Hujurat:
"Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
[al Hujurat, 49:1].

Anda sepatutnya bayangkan, akulah salah seorang daripada mereka yang beriman. Apa yang Allah mahukan daripada AKU? Apakah yang Allah, yang maha Mengasihani itu, minta daripada aku?

5. Merasakan ayat tersebut Hidup
a. Ketika anda membaca ayat tentang syurga, bayangkan anda sedang DUDUK di dalam syurga, sambil melihat buah-buahan syurga, melihat warga-warga syurga serta menghidu wangi-wangian syurga.
b. Ketika anda membaca ayat tentang neraka, bayangkan dapur rumah anda, bayangkan betapa panasnya ketika anda berada sangat dekat dengan dapur tersebut ketika apinya menyala. Bayangkan betapa panasnya jika anda memegang api tersebut - tak tertahan sehinggakan muka anda juga sudah tak tahan merasai habanya. Itu hanya api dunia! Bayangkan api neraka! Bagaimanakah pula panasnya api Neraka nanti?

6. Doa: Sangat Penting
a. Allah swt lah satu-satunya yang dapat memberikan kefahaman yang anda inginkan. Anda tak akan mampu mendapatnya kecualilah jika Allah mahukannya. Jadi, ketika anda sujud, ketika anda berada antara tangan-Nya swt, mintalah beribu-ribu doa: "Ya Allah! Engkaulah yang Maha Pembuka! Bukakanlah kefahaman ini untukku, bukakanlah kefahaman terhadap al Quran untukku."

7. Qiamullail
a. Baca ayat tersebut sambil berfikir tentangnya. Baca ayat itu banyak dan berulang-ulang kali sambil berfikir dan merenungi ayat tersebut. Nabi saw pernah membaca hanya satu ayat berulang-ulang kali, sambil menangis kerana Allah swt.
b. Bacaan dan penghayatan terhadap ayat tersebutlah yang akan menggerakkan hati anda.

8. Kurangkan dosa dan maksiat kepada Allah swt
a. Raan (titik hitam akibat dosa dan amal jahat) merupakan penghalang daripada merasai dan memahami al Quran. Titik inilah yang mencipta penghadang kepada hati:
"Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka."
[al Muthaffifin, 83:14]

b. Ini menjadikan ketika anda mendengar sesuatu ayat yang hebat dan kuat, namun anda tidak terkesan dengannya kerana pada hati anda terdapat penghadang ini. Anda perlu mengurangkan dosa yang anda lakukan supaya hati anda terkesan semula dengan al Quran.

9. Kerap kali mendengar al Quran
a. Apabila anda mendengar al Quran, fikirkan - mengapa qari tersebut membaca sesuatu ayat itu berulang-ulang? Mengapa dia menangis ketika membaca sesuatu ayat? Dengar dan fikirkan mengapa qari tersebut membaca sedemikian rupa.

10. Letakkan Pengharapan kepada Allah swt
a. Allah swt TIDAK AKAN meninggalkan aku keseorangan.
b. Sedarlah bahawa Allah swt tidak akan membiarkan anda apabila anda memohon kepada-Nya. Berdoalah kepada-Nya! Berharaplah bahawa dia swt akan memakbulkan doa anda!
c. Berdoalah: "Ya Allah! Siapalah diriku ini? Siapalah diriku ini melainkan hamba yang berdosa dan bermaksiat? Maha suci Engkau! Engkaulah Pemilik Pengampunan! Ya Allah, bukakanlah pintu kefahaman kepadaku! Hanya Engkaulah yang memberikan kefahaman!"
d. KETAHUILAH bahawa dia akan memakbulkan permintaan anda dan dia tidak akan meninggalkan anda.

1 comment:

bukan senang nak senang said...

Soal orang menangis dalam solat tidak akan dapat diselesaikan oleh ulama feqah. Kena bertanya pada ulama sufi atau pun tareqat baru tau jawapan yang sebenar. Ulama feqah hanya tahu hukum halal dan haram sesuatu perkara tapi mereka tidak mengetahui intipati atau pun tentang hal kebatinan seperti hati, rasa atau pun roh. Tangisan dalam solat itu bukan lah sesuatu yg dapat kita ada adakan sendiri. Ia ada lah natijah atau pun hasil dari jiwa seseorang itu yg memandang tepat kepada Tuhan dengan mata hati nya. Lalu pautan pandangan itu menimbulkan satu rasa dari makhluk kepada Khalik yg kemudian nya di balas dengan limpahan rasa pula dari Khalik kepada hamba Nya. Limpahan rasa itu lah yang menggoncangkan dada si hamba yg sedang bersolat tadi. Terasa satu nikmat yg amat bersangatan yg tidak dapat digambarkan dengan tulisan. Bagai orang yg makan cili hanya dia yg tau betapa pedas nya.

Samada seseorang itu faham makna AL-Qur'an atau tidak itu bukan menjadi sebab mengapa dia bisa menangis. Kerana tangisan itu adalah natijah limpahan rasa dari Tuhan kepada hamba, bukan kena mengena dengan pemahaman erti Al-Qur'an. Orang Arab faham makna Al-Qur'an tapi bukan semua boleh menangis semasa solat.

Sudah lumrah manusia akan menangis dalam banyak keadaan. Manusia menangis bila bersedih, atau semasa dalam kesakitan. Ramai wanita menangis kerana terlalu gembira. Jadi nya tidak hairan jika kita boleh menangis kerana memandang diri dzat Allah dengan mata hati kita

Menangis itu seolah2nya menjadi satu cetusan rasa yg tidak dapat digambarkan dengan sesuatu bahasa atau perbuatan yg lain. Ia sebagai satu puncak dari segala perasaan yg tidak dapat digambarkan kekuatan atau kehebatan nya. Apatah lagi yg di pandang dengan mata hati nya itu adalah Tuhan pencipta segala alam ini. Jika Miss World itu sudah cantik, maka Tuhan lah yg mencipta kecantikan sejuta Miss World. Sudah tentu lah Tuhan terlebih cantik dari segala yg cantik. Maha cantik, maha penyayang, maha pengasih, maha pengampun, maha segala gala nya.... sebenar nya jika tepat pandangan mata hati itu kepada Allah, bukan setakat menangis malahan boleh menjerit dan meraung.... maka sudah tentu lah ulama feqah mengatakan batal solat... tapi siapakah kita yg hendak menolak limpahan rasa yang datang nya dari Tuhan sendiri?

Post a Comment